Falsafah Pendidikan Andalus Falsafah pendidikan Andalus terkandung di dalam misi dan visinya. Visi Andalus ialah Muslim yang bertaqwa berteraskan Al-Quran dan Al-Sunnah. Manakala misinya adalah menyediakan pendidikan Islam dengan kesungguhan, kesabaran dan keikhlasan dalam melahirkan Muslim yang berilmu dan bertaqwa berteraskan Al-Quran dan Al-Sunnah.
Matlamat Pendidikan Andalus Matlamat pendidikan Andalus pula adalah melahirkan individu-individu yang mempunyai ciri-ciri berikut:
- Mempunyai kefahaman mengenai Islam dan mencontohi akhlak mithali
- Merealisasikan semua ajaran Islam dan menghayati sunnah dalam kehidupan
- Menunaikan hak-hak Islam dan berhemah tinggi Mendidik anak-anak cara Islam
Model Kurikulum Andalus  Model kurikulum Andalus harus memberi perhatian kepada 4 perkara iaitu, (1) objektif-objektif kurikulum, (2) jenis kandungan yang akan digunakan (3) pengalaman-pengalaman pembelajaran yang harus disediakan dan (4) bagaimanakah hasilnya harus dinilai.
Objektif-objektif Kurikulum Andalus Antara objektif-objektif utama kurikulum Andalus ialah:
- Ia bertujuan memberi pengetahuan dan kefahaman yang mencukupi mengenai ilmu-ilmu teras agama Islam agar para pelajar dapat memahaminya dengan sempurna. Ia mengikut kadar umur dan kebolehan mereka supaya mereka boleh menghayati dan mengamalkan ugama Islam dengan sebaik mungkin.
- Ia menekankan aspek ta’lim (proses menimba ilmu) ta’dib (beradab dengan Allah, Rasul dan hubungan dengan sekalian makhluk/sistem kehidupan) dan tarbiyyah (latihan kerohanian, intelek dan jasmani).
- Ia berhasrat membentuk insan yang berilmu dan berfikiran secara logis, analitis, kreatif, inovatif berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah.
- Ia berhasrat menghasilkan peribadi yang seimbang dari segi rohani, intelek dan jasmani agar menjadi muslim yang soleh dan muslih.
- Ia bertujuan memperkembangkan potensi dan bakat serta keupayaan setiap individu khususnya dalam pendidikan, penghayatan cara hidup dan menegakkan syiar Islam.
- Ia berhasrat melahirkan insan yang berakhlak mulia, progresif dan berketrampilan agar dapat menyumbang kepada agama, bangsa dan negara.
- Ia menyediakan suasana pengajaran dan pembelajaran yang membolehkan suasana pembelajaran maksimum tercapai.
|